Thursday, 1 August 2013

Aku hamba Allah atau hamba al-Qadr?

Jam 0400. 1 Ogos 2013.

Aku terjaga. Lantas bergegas ke bilik air,untuk mengambil wuduk. 

Paip dibuka,ku biarkan air mengalir deras. Sejuk. Wuduk ku ambil.

Alhamdulillah. Selesai berqiamullail. Selesai kembara al-qadr.

*one message received*
-malam tadi malam al-qadr rasanya. cuaca sangat baik. enta bangun qiam tak?-

-alhamdulillah. ana bangun. jazakallahu khair sbb berita baik tu.-
*message sent*

Jam 0400. 2 Ogos 2013.

Alarm berbunyi seperti biasa. Aku tekan butang dismiss.

Aku biarkan mata tertutup. Lena. Terbungkam di sebalik hamparan selimut tebal. 

Dan. Hari ini tidak seperti semalam. Jauh lebih hambar dari semalam. Tiada tahajud,tiada qiamullail.

Mungkin dah rasa selesa. Kerana nikmat berqiam ketika al-qadr di capai. Mungkin.

Ku biarkan masa terus berlalu. Sehingga sahabat sebilikku mengejutkan aku untuk bersahur.

Tiada lagi kembara al-qadr.

*******
Seperti biasa,seusai solat subuh akan ada tazkirah harian. Ku tumpu pada si penceramah. Khusyuk.

Pen ku capai. Buku nota ku buka. Telinga ku pasang. Hati sudah bersedia untuk menghadam nasihat dan teguran.

InsyaAllah.

Hadith pertama dalam kitab hadith 40 imam nawawi dipilih.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Niat.

Segalanya bermula dengan niat. Dan dengan niat sahaja yang membezakan antara adat dan ibadat. Sejauh mana sesuatu ibadat itu,kita luruskan niat semata-mata kerana Allah.

Hadis ini telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad pada masa seorang lelaki berpindah dari Makkah ke Madinah semasa peristiwa Hijrah demi semata-mata kerana mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais dan tidak berhijrah dengan sebab Islam.

Imam Syafi’e berkata bahawa hadis ini adalah satu pertiga dari pengetahuan ilmu Islam serta berkait rapat dengan 70 tajuk cabang ilmu Fiqh.Imam Ahmad pula berkata Islam itu ada 3 asas (yang kesemuanya terdiri daripada 40 hadis)


Panjang huraian ustaz. Dan ustaz menyambung.

Dalam hadith ini menggariskan tentang ikhlas. Ikhlas dalam membuat sesuatu tindakan dan beramal. Baginda nabi saw memberi 3 contoh yang sangat senang difahami. Antara penghijrahan kerana Allah,atau kehendak dunia. Dan ini yang membezakan amalan seseorang itu.

Contoh yang paling sangat hampir dengan kita ialah ramadhan. Ada orang beramal hanya ketika ramadhan. Habis ramadhan,habis segala amal. Kehidupannya kembali seperti asal, kehidupan yang meneladani kehidupan jahiliyah. Jiwa kosong.

Dan. 

Ada orang, kejar lailatul qadar. Bangun malam, tertonggek sana tertonggek sini. Habis pulun. Katanya nak dapat berkat lailatul qadar. Bagus,hebat orang seperti ini. Kerana dia sedar betapa berharganya malam yang Allah janjikan padanya itu berbagai nikmat.

Tapi.

Apa yang tidak kena, bila habis malam al-qadar, habis hilang semua amal. Habis terbantut semua niat ingin bertahajud. Diri kembali lesu,selimut kembali terasa berat. 

Mari cek niat. Bermuhasabah. Niat untuk mencari malam al-qadar adalah kerana malam itu atau empunya malam itu? Maka tiada bezalah orang yang seperti ini dengan mereka yang bertuhankan ramadhan. Hanya beramal ketika bulan ramadhan,habis ramadhan habis lesap segala amalan.

Nafas ku hela. Pedih teguran ustaz.

********

Aku pulang ke bilik dengan langkah yang lemah. Terasa iman digoncang. Air mata mengalir.

Apakah aku hamba Allah, atau aku hamba kepada al-qadr?

Nangis.

Allahumma innaka 'afuwun karim, tuhibbul afqa fa'fu'anna.



No comments:

Post a Comment