Wednesday, 22 May 2013

Wabak Seorang Dai'e

Assalamualaikum wbt.

Sedang diri sibuk dengan dunia,Allah hantar seorang sahabat buat peringatan untuk diri yang selalu alpa ni. Sedikit pesanan dari sahabat yang suka ana kongsikan dengan semua. :')


**********************************************************************

[ Sebuah Monolog ]


Masa terus berjalan seiring dengan putaran bumi. Angin terus meniup, bergerak ke mana sahaja sesuai dengan izin Allah. Gerombolan awan terus bergerak menaungi kawasan dengan teduhannya. Sekali sekala menutup teriknya matahari. 


Dan manusia pula terus menjalani rutin harian masing-masing. Lalu diri ini berhenti sejenak, mengamati keadaan sekeliling dan mula bertafakur. 


Dan di kala itu, satu senyuman terukir di bibir. Senyuman ini lahir di celah-celah hiruk-pikuk kehidupan manusia yang penuh dengan ragamnya.


Diri ini tersenyum tatkala melihat semakin ramai pemuda pemudi islam yang mulai sedar akan kepentingan dakwah dan tarbiyyah ini.


Diri ini gembira melihatkan mereka berpenat lelah mengorbankan masa,tenaga dan harta untuk menyampaikan risalah rabbaniyyah ini.


Diri ini turut terkesan melihat semangat mereka yang berkobar kobar untuk menjunjung sebuah kalimah suci, kalimah La Ilaha Illa Allah ! 


Sedang diri ini mengagumi kesungguhan dan semangat mereka, tiba-tiba muncul satu perasaan yang kurang enak. Perasaan yang membuatkan diri ini tidak senang duduk. Seolah olah diri ini sedang melihat satu ‘wabak’ yang sedang rakus membaham jiwa-jiwa anak muda ini. 


‘Wabak’ yang sedang menyerang tanpa belas kasihan kerana tiadanya penentangan dari mereka. Menyerang secara halus tanpa mereka sedari, seakan-akan sudah ‘hidup’ bersama secara harmoni dan menjadi sebahagian daripada hidup mereka.


Ironinya, mereka seperti merelakan ‘virus wabak’ ini untuk terus berkembang !


[ WABAK SERIUS TERUS MENYERANG ]


Berat untuk diri ini mengatakan ‘wabak’ apakah itu. 


Kerana diri ini yakin bahawa segala bentuk penafian akan dikembalikan semula kepada diri ini. Hujah-hujah akan disusun kemas dan dihalakan semula kepada diri ini.


Untaian kata-kata akan datang menikam semula diri ini.


Wahai saudaraku, demi Allah diri ini tidaklah menginginkan sesuatu kecuali redha Allah. Allah menjadi saksi bahawa diri ini sangat cintakan kalian dan sedaya upaya berjuang untuk kebaikan kalian. Tidak ada manfaat tersirat yang diinginkan. Diri ini hanya mengingatkan tentang satu wabak yang perlahan-lahan sedang membaham kehidupan kalian. 


Itulah dia 'wabak sekular' dalam kalangan daie!


“Sila jaga tulisan anda wahai penulis!" bentak akh A.


“Ini satu tuduhan yang tidak berasas!" sambung akh B.


“Akhi, takkanlah daie pun dikaitkan dengan sekular?” ujar akh C.


Diri ini sudah menjangkakan adanya bibit-bibit tidak senang dari pembaca sekalian. Terkejut dan tersentak mengapakah diri ini sungguh berani mengeluarkan satu kenyataan yang berat terhadap para daie? 


“Bukankah para daie ini sedang bekerja untuk membersihkan manusia dari segala kesesatan ideologi selain ideologi islam?" tambah akh D menghangatkan suasana.


[ PERIHAL SEORANG DAIE ]


Mari kita bersama perhatikan sebuah perihal wahai saudara yang ku cinta kerana Allah.


Akh Faizal (bukan nama sebenar) adalah seorang yang telah menyerahkan jiwa raganya untuk dakwah dan tarbiyyah ini. Makan minumnya, lelapnya, sembangnya semuanya tidak terlepas dalam kerangka menyebarkan fikrah suci ini. 


Beliau sentiasa memenuhi walau celahan kecil dalam kehidupannya dengan kerja dakwah dan tarbiyyah. Usrah, katibah dan kesemua wasilah tarbiyyah dilaluinya dengan semangat seorang pemuda yang berkobar-kobar. Input serta bahan yang diterima disebarkan kepada semua dengan penuh rasa cinta dan amanah. 


Beliau sungguh berharap bahawa semua orang dapat merasai ‘kemanisan’ berada di dalam jalan dakwah ini sepertimana yang beliau rasai. Manusia di sekelilingnya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang akh yang sodiq.


Dalam kesibukan beliau menyebarkan fikrah suci ini, beliau tidak sedar bahawa beliau telah pun dijangkiti wabak ini. Ya, beliau dijangkiti virus sekular! 


Akh ini tidak menjalankan amanah sebagai seorang pelajar dengan sebaiknya. Beliau culas terhadap pembelajarannya. Sudah menjadi kebiasaan beliau : 


kerap ponteng kuliah atas alasan melakukan kerja dakwah. 


pelajaran tidak diulangkaji sebaiknya atas alasan sibuk berprogram. 


mengulang tahun kerana gagal dalam peperiksaan sudah sebati dan sinonim. 


hanya menumpukan pembacaan dan kajian pada bahan-bahan fikrah dengan pandangan bahawa bahan ini lebih islamik daripada silibus kuliah.


Apabila ditegur, maka beliau mengeluarkan alasan bahawa beliau sibuk berdakwah dan mentarbiyyah umat ini . 


[ DAIE SEKULAR? ]


Nah, wahai saudara pembaca sekalian. Bukankah ini satu bentuk sekular ?


Di dalam usrah beliaulah rijal bercirikan 10 peribadi,


yang meyakini bahawa seorang akh itu perlu luas pengetahuannya, 


Di dalam daurah beliaulah pemuda bersemangat inkuiri,


yang meyakini bahawa seorang akh itu perlu sentiasa dahagakan ilmu,


Di dalam katibah beliaulah tentera berdisiplin tinggi,


yang meyakini bahawa seorang akh itu perlu tersusun, teratur dan seimbang urusannya,


Di dalam qiyamullail beliaulah seorang abid berjiwa sufi,


yang meyakini bahawa seorang akh itu perlu ada rasa takut pada amanahnya (daie dan pelajar).


Namun, apabila keluar dari kesemua wasilah itu, keperibadian yang terbina berubah secara total. Seolah-olah keperibadian tersebut tidak pernah wujud. Hilang begitu sahaja tanpa jejak.


Sebelum saudara melanjutkan pembacaan ini, dengan rendah hati diri ini menyeru untuk saudara berlaku jujur terhadap diri sendiri.


Tanyakan pada diri sendiri wahai saudaraku, 


Adakah islam itu hanya wujud di dalam wasilah-wasilah tersebut?


Bukankah islam itu satu sistem yang mana tiada satupun urusan hidup kita terlepas darinya?


Maka mengapakan keperibadian muslim itu hanya ditonjolkan di dalam wasilah–wasilah tarbiyyah tersebut dan hilang apabila kembali menjalani kehidupanseharian 


Maka wahai daie sekalian,


Mengapakah kamu mengabaikan tanggungjawabmu sebagai seorang pelajar?


Lalu kamu tidak menjadi seorang pelajar yang bersungguh-sungguh untuk mendalamiilmu.


Mengapakah kamu merasakan bahawa peperiksaan kuliah itu terkeluar dari lingkungan islam?


Lalu kamu tidak mengambil endah tentang keputusan peperiksaaanmu sendiri.


Mengapakah kamu tidak merasakan bahawa akademik itu sebahagian dari cabang dakwah islam?


Lalu kamu tidak merasakan keperluan seorang daie itu untuk cemerlang dalampelajarannya.


[ SINERGI ]


Diri ini menujukan peringatan kepada kamu, ya, kepada kamu wahai sang daie.


Sesungguhnya amanah kamu sebagai seorang pelajar tidak pernah bertentangan dengan amanah sebagai seorang daie. Tidak bermakna apabila kamu fokus di dalam kerja dakwah dan tarbiyah, maka itu lesen untuk kamu bersikap culas terhadap pelajaranmu. Begitulah juga fokus di dalam pelajaran bukanlah menjadi alasan untuk kamu tidak bersama-sama dalam gerabak dakwah dan tarbiyyah ini.


Hakikatnya kedua-dua ini perlu dipadukan wahai saudaraku, bergerak seiringan tanpa mengabaikan salah satu darinya. Lalu menatijahkan impak terbaik hasil paduan ini. Inilah apa yang dikatakan sebagai SINERGI !


[ SUARA KECIL DARI HATI ]


Hanya tulisan dan idea yang kerdil ini mampu diri ini sampaikan. Tulisan yang lahir dari hati apabila merasa pedih melihat tersungkurnya seorang demi seorang daie kerana ‘wabak’ ini. 


Juga lahir atas rasa amanah untuk memantapkan saff- saff daie yang bersama berjuang dalam gerabak dakwah ini. Tulisan yang diharapkan mampu menjadi benteng peringatan agar semua berwaspada terhadap ‘wabak’ ini yang kian mengganas.


Dengan penuh harapan dan rasa cinta, diri ini mendoakan bahawa tulisan ini mampu menembusi fikiran dan jiwa setiap pembaca. 


Dengan kefahaman dan pengetahuan yang terbina, marilah bersama melakukan satu bentuk perubahan dalam diri sendiri, seterusnya mencipta gelombang perubahan kepada masyarakat sekeliling. 


Ayuh berpegang tangan, membimbing dan menasihati dalam kalangan kita agar redha Allah mampu kita kecapi. 


Akhir kalam, diri ini menyeru kepada semua, ayuh tolak wabak sekular dalam kalangan daie!

2 comments:

  1. teringat kata maulana husnul...dalam hadis qudsi Allah firman..

    Wahai dunia, siapa yang mengabdikan diri padaKu, maka kau jadilah hambanya...

    insyaAllah, buktikan pada semua bahawa siapa yang amek agama, dia PASTI berjaya...usaha der...sedangkan cina yang tak solat pun Allah bagi, apa lagi kita islam yang solat..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. hari ni orang faham dunia,tapi tak ramai faham akhirat. pada orang kebanyakan,"tengok si fulan tu,dakwah2 tapi final exam teruk jugak rezuk"..

      hm hm.. Jom kita usaha utk tunjuk kat ramai orang,macam mne islam ni. sepatutnye golongan ni yg lebih terkedepan dalam meyakinkan orang. Meyakinkan orang dari setiap sudut kehidupan. Muasyarahnya,muamalahnya. hm hm. insyaAllah. ana pun cuba utk amalkan.

      Delete